Sunday, 9 April 2017

Personaliti Guru

Pengenalan

Dewasa ini, pendidikan adalah perkara yang menjadi keutamaan. Kualiti pendidikan sering sahaja menjadi kritikan sesetengah pihak, kualiti pendidikan perlu dipelihara oleh sesebuah negara. Untuk memastikan kualiti pendidikan terpelihara guru merupakan fokus utama. Guru adalah pendidik dan juga sebagai pengasuh kanak-kanak yang akan menjadi warisan kebudayaan dan ilmu pengetahuan untuk kemajuan negara pada masa depan. Guru memainkan peranan yang amat penting. Selain menyampaikan ilmu, segala tingkah laku guru akan menjadi contoh teladan kepada murid-murid. Oleh yang demikian, guru mestilah mempunyai sifat dan kualiti peribadi, profesional dan sosial yang baik dan murni. Hanya guru yang mempunyai tatasusila yang tinggi berjaya menjalankan tugas sebagai pendidik dengan lebih sempurna.

Sifat dan kualiti peribadi

Sifat dan kualiti peribadi seorang guru adalah amat penting kerana guru menjadi contoh kepada murid-murid. Seseorang guru yang baik mestilah memiliki sifat dan kualiti seperti berikut:
  • 1.      Jenaka:

Apabila seseorang guru itu mempunyai sifat jenaka, ini akan membawa suasana riang gembira kepada murid-murid dalam bilik darjah. Dengan adanya gelak ketawa dalam bilik darjah akan membuatkan guru tersebut disukai dan sering didekati oleh murid-muridnya. Perhubungan guru dengan murid akan terjalin erat dan ini sangat baik dalam konteks pengajaran dan pembelajaran. Dengan sifat jenakanya, guru dapat menjadikan pelajarannya  lebih menarik dan berkesan.
  • 2.      Baik hati dan bertimbang rasa:

Sikap baik hati dan bertimbang rasa seseorang guru amatlah dihargai oleh murid-murid. Murid-murid akan belajar dalam suasana yang tenteram, yakin dan senang hati.
  • 3.      Sabar:

Seseorang guru yang penyabar adalah guru yang mampu mengawal kemarahan dan mengawal perasaan diri. Guru ini tidak mudah meradang dalam apa jua keadaan. Guru yang mudah menunjukkan kemarahnya tidak akan dapat menjalin perhubungan yang erat dengan murid-muridnya. Akibatnya, sifat kurang sabar ini akan menjejaskan pengajaran dan pembelajaran. Seterusnya murid-murid tidak menyukai guru tersebut dan tidak meminati pelajaran yang diajar oleh guru tersebut.
  • 4.      Bertanggungjawab:

Tugas yang diamanahkan kepada guru untuk mengajar murid-murid adalah amat penting. Oleh yang demikian, sifat bertanggungjawab mestilah ada di dalam diri seseorang guru. Hal ini secara tidak lagsung akan membolehkan guru sentiasa berusaha menjalankan tugasnya dengan sempurna.
  • 5.      Yakin

Sifat kurang yakin yang ada pada guru sendiri adalah merupakan salah satu faktor yang menyebabkan wujudnya masalah disiplin di dalam bilik darjah. Hal ini kerana guru yang mempunyai sifat yakin tidak akan merasa takut apabila guru membuat satu-satu tindakan atau keputusan. Murid-murid akan menghormati guru yang boleh mengambil tindakan yang tegas.
  • 6.      Kepimpinan

Murid selalu akan menganggap guru sebagai pemimpin yang baik yang akan diikutinya. Oleh yang demikian, seseorang guru haruslah mewarisi sifat kepimpinan agar murid-muridnya akan mematuhi segala tunjuk ajar. Selain itu, guru yang mempunyai kualiti kepimpinan mempunyai tarikan yang tersendiri terhadap murid-muridnya. Dengan kualiti kepimpinan ini, segala aktiviti pembelajaran akan dapat dijalankan dengan licin dan berkesan.

Sifat dan kualiti profesional

Sifat dan kualiti profesional yang tinggi mestilah ada pada seseorang guru yang bertauliah. Aspek ini penting kerana guru yang mempunyai sifat dan profesional yang tinggi akan dapat melakukan dan melaksanakan tugasnya dengan berkesan. Walaupun seseorang guru  memiliki ijazah daripada unversiti mereka, tidak semestinya mereka merupakan guru yang baik. Antara sifat dan kualiti yang mesti ada pada guru supaya dapat menyampaikan pelajaran dengan cekap dan berkesan ialah :
  • 1.      Ingin tahu

Sifat ingin tahu yang ada pada diri seseorang guru akan mendorong seseorang guru itu sentiasa berusaha untuk menambahkan ilmu pengetahuannya. Guru akan selalu mempelajari dan menyesuaikan diri dalam perubahan-perubahan, baik daripada aspek kurikulum mahupun kaedah mengajar demi kepentingan pekerjaannya sebagai guru.
  • 2.      Pengetahuan ikhtisas

Seseorang yang ingin menjadi guru mestilah menjalani kursus yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Hal ini demikian kerana seseorang guru itu mestilah bertauliah, iaitu layak menjadi seorang guru dalam erti kata yang sebenar. Guru mestilah dilengkapkan dengan pelbagai jenis ilmu pengetahuan seperti ilmu psikologi kanak-kanak, ilmu kaedah mengajar, kurikulum, mata pelajaran dan sebagainya. Guru-guru yang melengkapkan diri dengan pelbagai pengetahuan ikhtisas ini adalah guru yang telah memperolehi kualiti profesional dalam konteks pendidikan.
  • 3.      Suka membaca

Guru mestilah memperolehi ilmu pengetahuan yang luas dan mendalam sebelum menyampaikan pelajaran. Selain itu, guru juga mestilah yakin semasa menyampaikan dan menyebarkan ilmu kepada murid. Walau bagaimanapun, objektif ini hanya dapat dicapai sekiranya guru gemar membaca. Hal ini demikian kerana sifat suka membaca adalah kriteria yang penting untuk mempertingkatkan kualiti profesional seseorang guru.
  • 4.      Kemahiran bertutur

Antara faktor yang mempengaruhi keberkesanan guru menyampaikan pelajaran ialah kemahiran bertutur. Guru yang mempunyai pertuturan yang jelas dan terang akan membolehkan murid mendengar pelajaran yang diajarnya dengan tepat dan sebaliknya pertuturan guru yang kurang baik akan menyebabkan penyampaiannya kurang jelas. Apabila  penggunaan sebutan dan tatabahasa yang digunakan adalah betul, murid-murid tidak akan tersilap. Oleh yang demikian, kemahiran bertutur merupakan salah satu kualiti profesional yang penting bagi seseorang guru.
  • 5.      Daya ingatan

Daya ingatan yang baik boleh membantu guru menyampaikan pelajaran yang sepenuhnya mengikut perancangan yang telah disediakan. Oleh yang demikian, murid-murid tidak akan ketinggalan sebarang isi pelajaran penting yang disampaikan oleh guru. Daya ingatan yang baik adalah antara syarat penting untuk mempertingkatan kualiti profesional seorang guru.
  • 6.      Daya usaha

Kualiti daya usaha seseorang guru dapa mengelakkan daripada terperangkap dengan masalah yang akhirnya akan menyebabkan murid-murid bosan untuk belajar. Guru yang mempunyai kualiti profesional akan selalu dan sentiasa berfikir dan mencuba pendekatan atau kaedah yang baru supaya pengajarannya menarik dan berkesan.

Sifat dan kualiti sosial

Tugas dan kewajipan guru tidak terhad di dalam bilik darjah sahaja. Seseorang guru juga hendaklah melakukan kerjasama sesama guru lain untuk meningkatkan kemajuan pelajaran dan pendidikan murid-murid di sekolah. Selain itu, imej guru dapat dipertingkatkan sekiranya guru sentiasa melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan masyarakat seperti menyertai aktiviti pergerakkan belia dan sukan, badan kebajikan, kebudayaan dan sebagainya. Oleh yang demikian, konsep guru yang berjaya pada masa sekarang bukan hanya ditinjau dari segi sifat dan kualiti peribadi dan profesional semata-mata, tetapi juga dari segi sosial. Antara sifat dan kualiti sosial seseorang guru ialah :
  • 1.      Budi pekerti

Hal ini termasuk kelakuan bersopan santun semasa bergaul denagan rakan- rakan sejawat atau semasa menyertai aktiviti dalam masyarakat. Seseorang guru yang mempunyai sifat ini akan sentiasa dihormati dan disanjungi oleh orang ramai.
  • 2.      Ramah mesra

Sifat ramah mesra merupakan stu kualiti yang perlu ada untuk mendapat kerjasama orng lain. Sifat ini juga akan sentiasa akan menyebabkan murid- murid suka berdamping rapat dengan guru itu.
  • 3.      Merendah diri

Sifat merendah diri adalah sifat kebalikan daripada sikap sombong. Orang tidak suka akan bergaul dengan orang yang sombong. Oleh itu, sifat merendah diri merupakan salah satu kualiti sosial yang perlu ada seseorang guru.
  • 4.      Semangat berbakti

Seorang guru yang mempunyai semangat berbakti akan sentiasa disanjung oleh guru lain. Sifat ini merupakan salah satu kualiti sosial yang murni bagi seseorang guru.
  • 5.      Jujur

Sikap jujur bertentangan dengan sikap menipu. Guru yang jujur akan menjalankan tugas dengan penuh dedikasi baik di dalam bilik darjah mahupun di luar bilik darjah. Sifat kejujuran merupakan salah satu kualiti sosial yang murni. Seorang guru yang mempunyai sifat kejujuran akan dihormati boleh orang lain. Guru yang jujur akan berusaha bersungguh-sungguh supaya hasil kerjanya mencapai tahap cemerlang.

Secara umumnya, seseorang guru yang mempunyai sifat dan kualiti sosial yang murni dapat diperhatikan daripada keadaan yang berikut:

 Murid-murid suka berdamping rapat dengannya.
 Rakan-rakan sejawat suka bergaul dengannya.
 Guru itu melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan sosial.
 Memberi sumbangan secara sukarela serta dengan penuh dedikasi.


Kesimpulan

Sebagaimana yang telah diterangkan, guru adalah pendidik. Guru memainkan peranan menyebarkan ilmu kepada murid-muridnya. Oleh itu, seorang guru mestilah mempunyai segala sifat yang telah dinyatakan dan haruslah terus menyemai dan memupuk sifat serta kualitinya sendiri di dalam usaha menjalankan tugasnya sesuai dengan seorang pendidik serta penyebar ilmu pengetahuan dan kebudayaan negara. Hanya guru yang memiliki sifat dan kualiti yang murni dan bernilai sahaja dapat menjalankan tugas dan memikul tanggungjawab dengan sempurna dan penuh dedikasi.

No comments:

Post a Comment